Asma' binti
Kahariyah Fazari diriwayatkan telah berkata kepada puterinya dihari pernikahan
anaknya itu:
"Hai
anakku, kini engkau kan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau
akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenal dan
berkawan pula dengan orang yang belum engkau kenali. Itulah suamimu."
Jadilah
engkau tanah bagai suamimu (taati perintahnya) dan ia akan menjadi langit
bagimu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi
tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan pelbagai kesukaran karena itu akan
memungkinkan ia meninggalkanmu.
Janganlah
engkau terlampau menjauhinya, agar ia tidak melupaimu. Sekiranya dia menjauhimu,
maka jauhilah dia dengan baik. Peliharalah suamimu itu dengan baik. Jagalah
mata, hidung dan anggotanya yang lain.
Janganlah
kiranya suamimu itu akan mencium sesuatu darimu melainkan yang harum. Jangan
pula ia mendengar sesuatu darimu melainkan yang enak dan janganlah ia
melihatkan melainkan yang indah sahaja pada dirimu.
Kalau wanita
ingin menjadi isteri yang baik, dipihak lelaki juga berhasrat memiliki wanita
yang begitu. Mereka (para suami ) ingin benar punya isteri yang menyambut
kepulangan dari tempat kerja dengan wajah yang manis dan ceria, senyum menawan,
pakaian yang bersih dan wangi dan rumahtangga pula berada dalam keadaan bersih
kemas dan terurus. Bila mata sedap memandang, tenang dan damailah hati suami.
Bukan itu
saja suami juga bercita-cita memiliki seorang isteri yang boleh menjadi
penghibur dirinya, boleh berkongsi masalah dengannya, faham apa yang disenangi,
tahu mengambil hati suaminya disamping boleh memberi layanan-layanan yang
menyenangkan dan mengembirakan suami. Itulah wanita idaman setiap lelaki.
Pendek kata bagaimana lelaki akan dilayani oleh bidadari di syurga kelak begitu
jugalah keinginan lelaki berhajatkan layanan dari seorang isteri seorang
bidadari rumahtangga. Oleh sebab itu dikatakan rumahtangga yang bahagia itu ialah
syurga tentulah ada bidadarinya. Siapa lagi kalau bukan isteri yang solehah
yang layak menyandang gelaran bidadari dunia.
Isteri yang
solehah akan berusaha memberi wajah jernih pada rumahtangga. Kasih sayang yang
lahir adalah hasil dari masing-masing hendak mencari keridhaan Allah, bukannya
dorongan nafsu semata- mata. Masing-masing suami isteri meletakkan Allah dan
akhirat yang lebih besar dan utama.
Isteri yang
solehah tidak terasa hina menjadi pelayan suami, malah sebaliknya rasa bangga
dan bahagia kalau boleh melakukan tugas-tugas itu dengan baik dan sempurna.
Gembira kerana yakin dengan janji Allah sebagaimana yang disabdakan oleh
Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Apabila
seorang perempuan mencuci pakaian suaminya, maka Allah mencatat baginya seribu
kebaikan dan mengampuni dua ribu kesalahan dosanya, bahkan segala sesuatu yang
disinari oleh matahari memohon ampun baginya serta Allah mengangkat seribu
darjat baginya."
"Wahai
Fatimah, setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan
membina tujuh parit antara dirinya dengan api neraka. Jarak antara parit itu
ialah sejauh bumi dangan langit."
"Wahai
Fatimah, setiap wanita yang berair matanya ketika memotong bawang untuk
menyediakan makanan keluarganya, Allah akan mencatat untuknya pemberian
sebanyak yang diberi kepada mereka yang menangis kerana takutkan Allah."
Siapa yang
tidak mau kemuliaan ini hanya dengan melakukan tugas yang ringan? Seorang
isteri yang solehah akan sentiasa mencari-cari jalan untuk menyenangkan hati
suami dan menutupi ruang-ruang untuk menyusahkan dan mencurigakan suami
terhadap dirinya. Dia tidak akan membimbangkan suaminya terhadap dirinya.
Maruah dirinya sebagai seorang isteri senantiasa dipelihara dan dijaga kerana
itu juga yang menjadi syarat untuk dia mendapat keredhaan Allah dan keselamatan
di akhirat nanti.Setiap rumahtangga yang dihuni oleh isteri yang solehah
bererti rumahtangga itu telah memiliki perbendaharaan yang termahal di dunia
dan di sisi Allah rumahtangga itu mendapat perhatianNya.
Sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud : " Seorang wanita yang solehah itu lebih baik
daripada seribu orang lelaki yang tidak soleh dan seorang perempuan yang
berkhidmat melayani suaminya selama seminggu maka ditutuplah daripadanya tujuh
pintu neraka dan dibukakan lapang pintu syurga dan dia bebas masuk dari pintu
mana yang disukainya tanpa hisab."
Isteri
solehah biasanya menjadi milik lelaki yang soleh. Tetapi ada juga ketikanya
isteri solehah bersuamikan lelaki yang toleh (jahat). Bolehkan kedamaian dan
keamanan wujud dalam rumahtangga bilamana suami kufur dengan Allah dan buruk
akhlak terhadap isterinya?. Isteri yang menghadapi persoalan begini boleh
tertekan jiwanya. Ada yang tidak sabar dengan kerenah suami hingga tidak
terfikir cara lain untuk menyelamatkan jalan hidup yang dipilihnya melainkan
berpisah saja dari suami.
Dalam hal
sebegini, si isteri perlu banyak bersabar dan selalu bermunajat pada Allah.
Ingatlah mungkin kesusahan yang kita hadapi adalah ujian dari Allah s.w.t. Ada
dua maksud Allah mendatangkan ujian yaitu pertamanya ujian itu didatangkan
sebagai penghapusan dosa dan keduanya untuk peningkatan drajat disisi Allah.
Jadi jika
kita boleh bersabar maka terhapuslah dosa-dosa yang lalu. Sebaliknya tidak
mustahil juga itu merupakan peningkatan darjat dari Allah. Kalau tidak diuji,
mungkin hati kita akan terpaut benar dengan suami, menyayangi suami lebih dari
Allah. Jadi untuk melihat sama ada kita membesarkan suami atau membesarkan
Allah maka Allah timpakan ujian itu. Kalau benar hati sayang dan takut pada
Allah tentu isteri tidak teragak-agak untuk bertindak membesarkan dan
menyayangi Allah daripada suaminya sendiri.
Ingatlah,
sejahat-jahat suami kita, tidaklah dia lebih jahat daripada Firaun, sedangkan
isteri Firaun, Siti Asiah boleh bersabar menghadapi kesombongan dan keangkuhan
Firaun sehinggakan Siti Asiah disenaraikan oleh Allah termasuk di dalam barisan
antara wanita-wanita solehah yang dijamin syurga.
Oleh itu
kalau suami kita masih belum diberi petunjuk janganlah kita jemu untuk memujuk
dan mentarbiah, berlaku baik dan paling penting mohon dan bermunajatlah kepada
Allah agar Allah mengubah hatinya untuk tunduk pada perintahNya.
Rasulullah
s.a.w pernah bersabda : "Wanita yang taat akan suaminya semua
burung-burung diudara, ikan- ikan di air, malaikat di langit, matahari dan
bulan semua beristighfar baginya selama mana ia (isteri) masih taat pada
suaminya dan diredhai (serta menjaga sembahyang dan puasanya)."
0 komentar:
Posting Komentar