Adapun
terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj adalah kerana bumi merasa bangga dengan
langit. Berkata dia kepada langit, "Hai langit, aku lebih baik dari kamu
kerana Allah S.W.T. telah menghiaskan aku dengan berbagai-bagai negara,
beberapa laut, sungai-sungai, tanam-anaman, beberapa gunung dan
lain-lain."
Berkata langit, "Hai bumi, aku juga lebih elok dari kamu kerana matahari,
bulan, bintang-bintang, beberapa falah, buruj, 'arasy, kursi dan syurga ada
padaku."
Berkata bumi, "Hai langit, ditempatku ada rumah yang dikunjungi dan untuk
bertawaf para nabi, para utusan dan arwah para wali dan solihin (orang-orang
yang baik)."
Bumi berkata lagi, "Hai langit, sesungguhnya pemimpin para nabi dan utusan
bahkan sebagai penutup para nabi dan kekasih Allah seru sekalian alam,
seutama-utamanya segala yang wujud serta kepadanya penghormatan yang paling
sempurna itu tinggal di tempatku. Dan dia menjalankan syari'atnya juga di
tempatku."
Langit tidak dapat berkata apa-apa, apabila bumi berkata demikian. Langit
mendiamkan diri dan dia mengadap Allah S.W.T dengan berkata, "Ya Allah,
Engkau telah mengabulkan permintaan orang yang tertimpa bahaya, apabila mereka
berdoa kepada Engkau. Aku tidak dapat menjawab soalan bumi, oleh itu aku minta
kepada-Mu ya Allah supaya Muhammad Engkau dinaikkan kepadaku (langit) sehingga
aku menjadi mulia dengan kebagusannya dan berbangga."
Lalu Allah S.W.T mengabulkan permintaan langit, kemudian Allah S.W.T memberi
wahyu kepada Jibrail A.S pada malam tanggal 27 Rejab, "Janganlah engkau
(Jibrail) bertasbih pada malam ini dan engkau 'Izrail jangan engkau mencabut
nyawa pada malam ini."
Jibrail A.S. bertanya, " Ya Allah, apakah kiamat telah sampai?"
Allah S.W.T berfirman, maksudnya, "Tidak, wahai Jibrail. Tetapi pergilah
engkau ke Syurga dan ambillah buraq dan terus pergi kepada Muhammad dengan
buraq itu."
Kemudian Jibrail A.S. pun pergi dan dia melihat 40,000 buraq sedang
bersenang-lenang di taman Syurga dan di wajah masing-masing terdapat nama
Muhammad. Di antara 40,000 buraq itu, Jibrail A.S. terpandang pada seekor buraq
yang sedang menangis bercucuran air matanya. Jibrail A.S. menghampiri buraq itu
lalu bertanya, "Mengapa engkau menangis, ya buraq?"
Berkata buraq, "Ya Jibrail, sesungguhnya aku telah mendengar nama Muhammad
sejak 40 tahun, maka pemilik nama itu telah tertanam dalam hatiku dan aku
sesudah itu menjadi rindu kepadanya dan aku tidak mahu makan dan minum lagi.
Aku laksana dibakar oleh api kerinduan."
Berkata Jibrail A.S., "Aku akan menyampaikan engkau kepada orang yang
engkau rindukan itu."
Kemudian Jibrail A.S. memakaikan pelana dan kekang kepada buraq itu dan
membawanya kepada Nabi Muhammad S.A.W. Wallahu'alam.
Buraq yang diceritakan inilah yang membawa Rasulullah S.A.W dalam perjalanan
Israk dan Mikraj.
0 komentar:
Posting Komentar